Cinta beralih arah
CINTA beralih arah bukan sesuatu yang pelik atau luar biasa dalam sesebuah perhubungan lebih-lebih lagi di kalangan pasangan kekasih.
Namun sesuatu yang malang apabila cinta beralih arah ketika perhubungan telah diikat kejap dengan tali perkahwinan dan janji sehidup semati.
Biarpun ketika itu si suami atau isteri sudah bahagia memiliki keluarga yang sempurna, tetapi masing-masing masih mahu mencari kekurangan dengan apa yang dimiliki.
Setiap pasangan yang berumah tangga pasti mahukan sebuah perkahwinan yang bahagia dan aman damai, tetapi bukan semua yang diimpikan akan menjadi kenyataan.
Tidak dapat dinafikan sebagai makhluk Allah kita akan diuji dengan pelbagai ujian bagi melihat sejauh mana kita sebagai makhluknya mampu menghadapi situasi yang getir dalam hidupnya.
Namun percayalah, Allah tidak kejam dengan umat, setiap dugaan yang diberi pasti setaraf dengan kemampuan dirinya sendiri.
Sebenarnya, apabila ada kecurangan bermakna kepercayaan terhadap pasangan juga akan semakin berkurangan dan kasih sayang yang selama ini dicurahkan juga semakin tawar.
Biarpun tiada kajian khusus dan angka tepat mengenai peratusan kecurangan yang berlaku antara pasangan dalam perkahwinan, apa yang pasti kes sebegitu kerap berlaku yang menjadi antara punca keretakan sesebuah perkahwinan.
Sehubungan itu, timbul persoalan kenapakah kecurangan berlaku dalam perhubungan?
Sebenarnya pelbagai sebab dan faktor yang mendorong pasangan, baik suami atau isteri berlaku curang dalam rumah tangga walaupun perkara berkenaan sepatutnya tidak berlaku.
Faktor paling biasa yang mendorong pasangan berlaku curang ialah usia perkahwinan mereka.
Pada peringkat awal perkahwinan mungkin masing-masing cuba untuk memahami antara satu sama lain, tetapi apabila sudah memahami dan ada perasaan jemu, mulalah berlaku perkara tidak diingini.
Antaranya timbul perasaan bosan terhadap pasangan dan keadaan itu menyebabkan kejujuran mula dipinggirkan dalam perkahwinan.
Selain itu, tiada sifat telus dalam perhubungan perkahwinan boleh membawa kepada timbulnya keinginan untuk curang kepada pasangan masing-masing.
Selain itu faktor 'tolakan' dan 'tarikan' antara pasangan suami isteri juga merupakan faktor yang berlaku kecurangan.
Mungkin terlalu rimas dengan isteri yang membebel menyebabkan si suami cuba mencari keseronokan di luar rumah.
Malah, kurangnya perhatian yang diberikan pasangan juga tidak dinafikan menjadi pencetus kepada fenomena curang dalam rumah tangga.
Apabila tiada perhatian, pasangan akan berasa kekurangan suatu dalam kehidupan.
Bagi mereka yang bekerja di pejabat, pergaulan seharian dengan teman sekerja kadangkala menjadikan mereka berpotensi untuk curang kerana mendapat perhatian sewajarnya di luar rumah.
Oleh itu, berpada-pada apabila bersahabat dengan berlainan jantina di pejabat supaya perasaan sahabat tidak bertukar kepada sayang.
Sayangilah hubungan perkahwinan yang dibina atas dasar sayang dan cinta kepada suami dan isteri anda supaya keadaan tidak menjadi lebih teruk.*sumber- utusan
1 Ulasan
waa...gud job otomen! leh jd dr cinta pasni..hehe
BalasPadam