KEHEBATAN ThinkPad terbukti apabila lebih 14 buah komputer riba itu dijual pada setiap minit di seluruh dunia, menjadikan produk keluaran Lenovo sebagai syarikat peneraju komputer peribadi.
ThinkPad menjadi jenama yang begitu pantas berkembang. Ia juga model komputer riba pertama mempunyai papan kekunci kalis cecair.
Kebolehpercayaan ThinkPad juga dilihat melalui pencapaiannya apabila disenarai sebagai komputer riba terbaik dalam kajian kepuasan pelanggan dan sikap membeli korporat IT selama lima tahun berturut-turut.
“ThinkPad menjadi pilihan terbaik di kalangan pelanggan perniagaan sederhana dan besar. Ia mempunyai rekod pencapaian yang tinggi dalam kualiti, kebolehpercayaan, penyampaian dan masa membaik pulih,” kata Felo Lenovo dan Timbalan Presiden Pembangunan Unit Perniagaan Notebook, Arimasa Naitoh.
Katanya, sejak memasuki pasaran pada tahun 1992, ThinkPad bukan sahaja menjadi jenama PC komersial terbaik dunia, tetapi sentiasa berada di hadapan dalam portfolio inovasi dan penyampaian produk peneraju.
“Dengan Lenovo, ThinkPad berkembang malah menambah baik persembahan dan kualiti. Kami akan terus memacu komitmen ke arah inovasi ketika mereka cipta komputer riba ThinkPad pada masa hadapan,” katanya.
Dalam ujian yang dijalankan, ThinkPad berjaya melepasi ujian tumpahan air pada papan kekuncinya dan masih berfungsi apabila segelas air dituang ke atasnya. Sementara itu, sebuah notebook jenama lain padam dalam tempoh sembilan saat dalam ujian sama.
ThinkPad juga tahan lasak kerana kelebihan reka bentuk seperti ruang aliran tumpahan air yang mengelakkan sisa air tertinggal dan tapak di setiap penjuru pada bahagian bawahnya yang mengambil idea tapak kaki kucing.
“Kucing mendarat dengan selamat walaupun pada ketinggian bahaya. Justeru, idea berkenaan diserap pada rekaan ThinkPad menjadikannya tahan lasak apabila terjatuh dan tidak mudah rosak,” kata Arimasa.
Katanya, walaupun ThinkPad diwujudkan untuk kegunaan perniagaan tetapi harganya masih berpatutan sebagaimana bajet IT kecil. Justeru, ia masih hebat daripada segi produktiviti dan sistem perlindungan aktif.
Lebih menarik lagi katanya, ThinkPad menjadi satu-satunya jenama komputer riba yang digunakan oleh angkasawan semasa berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
“Untuk melayakkan sesebuah notebook digunakan di angkasa lepas, ia mestilah sebuah produk yang tahan lasak dan tahan lama kerana di angkasa tiada orang yang akan membantu jika komputer anda rosak,” katanya.
sumber-kosmo
0 Ulasan