Sisi ghaib jadi nyata
"AKU tahu perbuatan ini dosa besar. Tapi aku tak kisah nak santau dia sampai mati pun. Aku sanggup tanggung segala dosa!"

Demikian ungkapan kesumat seorang wanita Melayu yang nekad mensantau bekas teman lelakinya seperti yang diceritakan rakan penulis, Suhaila.

Suhaila mengimbas kata-kata yang pernah berdesing di cuping telinganya itu sekitar empat tahun lalu.
"Aku dengar-dengar, lelaki itu sudah pun mati," cerita Suhaila.

Sihir atau ilmu hitam bukan perkara baru. Menurut sejarahwan, amalan melakukan sesuatu menerusi bantuan makhluk halus seperti jin dan syaitan telah berakar umbi sejak sekitar 5,000 tahun Sebelum Masihi.

Dalam tamadun Mesopotamia, pengaruh ilmu sihir begitu kuat dan mereka yang mahir dalam bidang ini digelar asipu.
Dalam tamadun Rom dan Yunani, ahli-ahli sihir mereka mampu melumpuhkan seseorang dengan bacaan mantera manakala dalam tamadun Mesir, ahli-ahli sihir yang hebat digaji menjadi pengawal peribadi.

Di Malaysia kini, cabang-cabang sihir didapati pada amalan santau, pukau, tuju-tuju, ubat guna-guna dan sebagainya.

Seorang lelaki dari Pulau Pinang, Salman (bukan nama sebenar) berusia 40 tahun menderita penyakit misteri selama setahun.

Berat badannya susut secara mendadak daripada 80 kilogram (kg) menjadi 40 kg dalam tempoh yang agak singkat.

Setiap kali menjelang Maghrib, dia tidak boleh mengangkat kakinya untuk berjalan sehingga perlu berpaut pada tembok dinding di rumah.

Dia mendakwa doktor tidak mempunyai penjelasan tentang penyakitnya.

"Setelah doktor sendiri hairan dengan penyakit saya, saya berjumpa bomoh. Bomoh menyuruh saya membasuh muka kemudian dia memberikan saya cermin.

"Saya lihat ada benang, duri, serpihan kaca dan sekam menempel pada muka saya.

"Saya menyentuhnya dan memang terasa ia ada di situ.

Santau
"Bomoh itu memberitahu, saya telah disantau. Katanya, mujur saya berjumpanya cepat kerana jika tidak, dalam tempoh sebulan lagi, saya mungkin akan menemui ajal," kata Salman kepada Jurnal.

Ceritanya, daripada gambaran rupa yang diberikan bomoh itu, orang yang berniat menyantaunya ialah seorang kawannya. Salman kini sudah pulih.

Mangsa santau tidak mengenal usia. Seorang remaja berusia 14 tahun turut terkena santau. Abangnya, Mohd. Sharul Nizam Sharuddin, 29, berkongsi cerita.

"Sangat menyayat hati melihat keadaan adik saya pada masa itu. Dah macam mayat hidup.

"Dah jumpa doktor dan lakukan imbasan sinar X, doktor kata ada tompok-tompok hitam mungkin tibi. Tapi keadaan adik masih tidak baik.

"Kami akhirnya jumpa seorang bomoh di Perak. Selepas dirawat, adik saya muntahkan serpihan kaca, dawai besi dan rambut.

"Bomoh beritahu, adik saya telah disantau. Tetapi siapa yang santau kami sendiri tidak pasti," katanya.

Namun, jauh di sudut hati Sharul Nizam, dia bersyukur kerana adiknya dapat disembuhkan, tidak seperti seorang rakannya yang mati kerana santau.

"Kawan saya itu disantau dengan teruk sampai segala organ dalam badannya hampir hilang.

"Dikatakan ia penangan santau Orang Asli. Difahamkan, dia disantau oleh kawan baiknya yang sukakan isterinya," katanya.

Justeru, apa yang membezakan perbuatan sihir ini dengan perbuatan mencederakan atau membunuh mangsa menggunakan pisau atau senjata lain?

Sebenarnya, jika dihalusi kedua-duanya adalah perbuatan jenayah iaitu membunuh atau mendatangkan kecederaan.

Cuma, sihir senjatanya ialah makhluk halus dan kerana itu 'penjenayah' sering terlepas. Mahkamah lazimnya tidak mengambil kira hal-hal berbaur metafizik dan di luar logik akal.

Jenayah
Pensyarah Undang-Undang Kolej Antarabangsa Institut Kemajuan Iktisas Pahang (IKIP), Dr. Mahyuddin Ismail menggambarkan jenayah sihir adalah sesuatu yang bersifat realistik dan bukan retorik.

"Banyak perkara jenayah di negara ini yang turut dikaitkan dengan perbuatan sihir.

"Jenayah membabitkan sihir boleh berlaku dalam kes bunuh, mendatangkan kecederaan, rogol, penipuan, kecurian, kes orang hilang, kes cerai dan poligami.

"Daripada kajian saya juga terdapat 13 kes di mahkamah sivil dan mahkamah syariah yang membabitkan jenayah ini termasuk kes Mona Fandey.

"Maklumat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan hanya 55 peratus kes orang hilang diketahui puncanya sedangkan bakinya tidak diketahui.

"Terdapat juga kekerapan mangsa santau yang kembali mendapat santau selepas beberapa bulan dirawat.

"Semua ini mendorong kita untuk segera membanteras masalah ini," katanya yang turut mempunyai pengalaman merawat gangguan makhluk halus.

petikan dari RENCANA UTAMA(Kosmo)Sisi ghaib jadi nyata

Artikel penuh - Sisi ghaib jadi nyata