Tulang Titanosaur dipamer di Cincinnati
CINCINNATI 27 Ogos - Fosil dinosaur termasuk bahagian tulang rusuk sepanjang 2.7 meter dari spesies titanosaur berleher panjang, merupakan antara tinggalan pra sejarah yang dipamerkan buat kali pertama hari ini di Muzium Cincinnati.

Empat daripada fosil yang dipamerkan merupakan antara 12 yang ditemui dari tahun 2005 hingga 2007 di wilayah Henan, China.

Tulung rusuk dan tiga ruas tulang belakang itu milik spesies titanosaur, yang dipercayai pakar paleontologi mempunyai ketinggian sembilan meter, hampir 30 meter panjang, dengan berat antara 32 hingga 87 tan.

Pegawai di Pusat Muzium Cincinnati memberitahu, semua fosil yang dipamerkan itu berusia antara 144 juta hingga 100 juta tahun.

Selepas fosil tersebut ditemui, penyelidik mendapati penduduk kampung di wilayah itu telah lama menggali tulang dinosaur selama berkurun-kurun, kerana mempercayai ia adalah tulang naga dan mengisarnya bagi membuat ubat.

"Wilayah Henan mungkin merupakan lapangan dinosaur terbesar di China," kata Daoping Bao, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Dinosaurs Unearthed Corp., sebuah syarikat mempamerkan dinosaur yang berpangkalan di Kanada.

Pegawai Dinosaurs Unearthed berkata, penemuan fosil dari keluarga titanosaur, yang dinamakan sempena nama dewa purba Greece, Titans itu, sangat penting bagi China dan bidang paleontologi.

"Ia membolehkan kita mengenal pasti satu spesies baru titanosaur," kata kurator paleontologi vertebrat di muzium tersebut, Glenn Storrs.

Pameran itu turut memperlihatkan fosil sarang telur oleh satu spesies dinosaur oviraptorosaur berbulu dan mempunyai paruh yang tidak diketahui.

Paling menarik perhatian adalah satu fosil dengan diameter 1.5 meter serta 26 biji telur berukuran 0.3 meter di dalam sarang berbentuk bulat yang menyambut kedatangan pengunjung. - AP

sumber-utusan