-Info
SUSPEK: Raoul Moat
UMUR: 37 tahun
MANGSA: Samanta Stobbart, 22, dan Chris Brown, 29
FAKTA KES: Akibat cemburu buta, Moat membunuh kekasihnya Stobbart selepas mengetahui wanita itu memiliki teman baru, Brown. Moat membunuh mereka menggunakan senapang patah ketika dalam kenderaan serta turut dikaitkan dengan kes rompakan dan mencederakan polis

“SAYA minta maaf dan tidak berniat membunuh Sam (Samanta Stobbart, 22). Saya ingin melihat dia terus hidup.” Itu antara isi kandungan surat setebal 49 muka surat daripada Raoul Moat, 37.

Surat berkenaan bukan saja menyentuh luahan hati Moat terhadap Stobbart, malah mendedahkan pengakuannya membunuh wanita berkenaan dan teman lelaki barunya, Chris Brown, 29.

“Saya tidak pernah curang terhadapnya (Stobbart), saya harap dia juga setia. Namun dia melakukan sebaliknya,” demikian antara lain luahan Moat dalam surat yang diberi kepada sahabat baiknya, Andy McAllister, 45.

Pada Julai lalu, Moat baru saja keluar dari penjara Durham, England atas kesalahan melakukan serangan terhadap kanak-kanak dan dipenjarakan selama setahun.

Selepas keluar penjara, bekas ahli bina badan dan pengawal kelab malam itu cuba mendekati semula Stobbart tetapi berang selepas mengetahui kekasihnya memiliki teman lelaki lain.

Selama dua hari Moat mengekori Stobbart dan pada 3 Julai selepas itu, Moat menghampiri kenderaan dipandu teman baru Stobbart, Brown dan menembak mereka berdua menggunakan senapang patah. Stobbart ditembak tiga kali di kepala dan dada.

Moat menjadi buruan polis Northumbria, Durham selepas melakukan pembunuhan itu. Hari berikutnya dia sekali lagi melakukan keganasan apabila mencederakan polis trafik, David Rathband, 42, sehingga buta ketika membuat rondaan.

Lebih mengejutkan, Moat turut dikaitkan dengan rompakan di restoran makanan laut Seaton Deaval yang terletak antara kawasan terbabit.

Dalam tempoh tidak sampai lima hari, kes ini menggemparkan seluruh penduduk sekitar Durham, Newcastle dan Sunderland di England. Dalam sekelip mata, Moat menjadi penjenayah paling dikehendaki.

Sumber polis berkata, Moat terdedah dengan jenayah terbabit kerana gangguan perasaan akibat tidak dapat menerima hakikat Stobbart meninggalkannya.

“Semua ini bermula akibat cemburu buta. Dia (Moat) hilang pertimbangan waras dan bertindak di luar kawalan,” katanya.

Sehari selepas melakukan rompakan, pada 6 Julai berikutnya Moat ditemui bersembunyi di sebuah rumah pinggir kota di Rothbury, Durham.

Polis cuba memujuk Moat menyerah diri tetapi dia enggan berbuat demikian. Dari kawasan kediaman terbabit polis bukan saja mengepung rumah berkenaan, malah membuat sekatan jalan seluas lingkungan tiga kilometer.

Menyedari dirinya tidak lagi terselamat daripada buruan pihak berkuasa, Moat bersembunyi dalam terowong kumbahan bawah tanah dalam usaha untuk melepaskan diri daripada kepungan polis.

Daripada maklumat polis, Moat meloloskan diri melalui terowong sejauh 400 meter untuk melarikan diri. Bagaimanapun, Moat tahu tindakannya sia-sia kerana polis mengawasi seluruh kawasan.

Tiba di kawasan berhampiran sungai, Moat mengambil tindakan nekad dan membunuh diri. Kes ini berakhir dengan kematian Moat.

Pun begitu, ia menjadi kes yang menggemparkan seluruh England. Agak pelik apabila hasil hebahan media, terutama membabitkan surat luahan perasaan mengenai jenayah dilakukannya, Moat mendapat sanjungan segelintir masyarakat.

Malah, seorang pengguna laman web sosial Facebook yang membuka satu akaun pengenalan untuk Moat iaitu ‘R.I.P Raoul Moat You Legend’ menarik kira-kira 38,000 peminat.

Tidak kurang juga mengkritik tindakan menyokong Moat memandangkan kekejamannya langsung tidak berasas, hanya kerana rasa cemburu. Malah Perdana Menteri England, David Cameron, turut mengecam dan mengutuk tindakan Moat, termasuk mereka yang menyanjunginya.

sumber-metro