NEWCASTLE, Australia - Pihak berkuasa bimbang berhubung keselamatan pemandu muda di bandar ini berikutan ramai di antara mereka cuba memecut pada kelajuan 180 kilometer sejam (km/h) untuk melihat hantu seorang penunggang motosikal yang sudah mati dan merakamnya untuk laman perkongsian video, YouTube, lapor sebuah akhbar semalam.

Perbuatan berbahaya itu berlaku ekoran kisah legenda di bandar ini bahawa mereka perlu memandu laju untuk memanggil hantu berkenaan.

Legenda itu menyatakan pemandu yang baru mendapat lesen di sini dan mebawa selaju 180 km/h di Laluan Lemon Tree boleh menyeru roh penunggang motosikal berusia 29 tahun itu.

Penunggang motosikal tersebut maut dalam satu kemalangan jalan raya di lokasi itu pada 2007.

Menurut legenda sama, pada kelajuan tersebut, satu cahaya terang, dipercayai hantu penunggang motosikal itu, akan muncul dan mengejar pemandu terbabit supaya dia memperlahankan kenderaannya.

Polis bagaimanapun, bimbang perbuatan memandu laju dan cuba membuat rakaman pada kelajuan tinggi di kalangan pemandu baru itu boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.

"Kami mahu memberi amaran kepada pemandu-pemandu laju itu bahawa satu-satunya sinaran yang mereka lihat pada kelajuan tersebut adalah cahaya merah dan biru siren kereta peronda polis," kata seorang jurucakap polis.

Amaran pihak berkuasa itu gagal menyekat ramai pemandu daripada membuat rakaman video yang kemudian disiarkan di YouTube.

Setakat ini, berpuluh-puluh pemandu muda menyabung nyawa untuk melihat kebenaran kisah legenda itu di laluan berkenaan yang terletak sekitar 160 kilometer ke timur bandar raya Sydney.

"Oh, Tuhan, kisah ini nyata benar," kata suara seorang pemuda dalam sebuah klip yang dapat ditonton di YouTube.

Rakaman tersebut memaparkan cahaya putih mengejar keretanya tetapi punca kejadian itu berlaku masih kurang jelas. - Agensi

sumber-kosmo