Indonesia tidak akan kompromi

Mahu rundingan perbatasan diadakan segera

JAKARTA: Kementerian Luar Indonesia menyatakan kesediaan berunding dengan Kerajaan Malaysia mengenai persempadanan perairan Berakit, di Kepulauan Riau, pada bila-bila masa.

Tiga anggota pengawal pengawasan perikanan Kementerian Kelautan dan Perikanan republik itu ditahan Polis Diraja Malaysia di perairan berkenaan beberapa hari lalu kerana menceroboh perairan Malaysia.
Menteri Luar terbabit, Marty Natalegawa menyatakan pihaknya akan memastikan kedaulatan Indonesia, lapor Kompas.com semalam.

“Kita memastikan bahawa yang menjadi kedaulatan kita, hak kedaulatan kita, kementerian tidak sedikitpun akan berkompromi. Kita mahu pastikan bahawa rundingan perbatasan dengan Malaysia dilaksanakan. Indonesia bersedia bila-bila saja,” kata Marty.

Sehingga kini Marty berkata, Malaysia belum bersedia untuk berunding.

“Malaysia belum siap. Mereka belum boleh berunding dengan Indonesia sebelum menyelesaikan hak sempadan dengan Singapura yang berkaitan dengan wilayah kita,” katanya.
Ketegangan di antara Malaysia dan Indonesia berterusan berikutan penahanan tiga pegawai maritim republik itu berikutan pertikaian sempadan.

Tiga pegawai terbabit mendakwa berada di perairan Bintan, Pulau Riau ketika mereka ditahan malam Jumaat lalu oleh pasukan polis Marin Indonesia, kata Aji Sularso, ketua pengarah pemantauan di Kementerian Hal Ehwal maritim dan Perikanan Indonesia.

Katanya pegawai terbabit ditahan sebaik saja republik itu menahan tujuh nelayan Malaysia kerana didakwa menceroboh kawasan penangkapan ikan di perairan Indonesia.

“Malaysia kata ia adalah wilayah mereka tetapi sebenarnya kawasan perairan kita,” kata Aji yang dipetik Jakarta Globe, Ahad lalu.

Mereka adalah sepasukan lima anggota peronda yang menahan nelayan Malaysia. Dua pegawai berkenaan menahan tujuh nelayan ke Sekupang, Batam manakala tiga yang lain menaiki bot nelayan Malaysia di mana mereka ditahan.

Indonesia turut mendakwa pihak berkuasa Malaysia melepaskan tembakan ke arah bot peronda Indonesia tetapi dinafikan polis Malaysia, sebaliknya ia adalah tembakan amaran.

Sementara itu, kira-kira 70 bendera Malaysia dilaporkan dibakar di Batam oleh Pemuda Pancasila sebagai bantahan dan protes terhadap kerajaan Malaysia.

Tindakan itu dilakukan di kawasan tempat letak kereta Terminal Feri Internasional Batam Center. Selain membakar bendera, Pemuda Pancasila Batam juga membakar sejumlah gambar pejabat Pemerintah Malaysia dan wang ringgit. – Agensi

sumber-berita harian