Putus hubungan cara elok

RASA serba salah, kecewa malah takut si dia sukar mengawal perasaan, memang biasa apabila mahu memutuskan perhubungan.
Mereka yang hendak memutuskan percintaan seharusnya berani berdepan dengan hakikat setiap yang bermula bakal berakhir. Segala kenangan indah yang pernah dicipta bersama mungkin bakal luput di ingatan apatah lagi perpisahan sering meninggalkan kesan mendalam di jiwa.

Bagi yang ingin memutuskan, dia mempunyai 1,001 macam alasan. Mungkin dia sudah ada yang lain manakala pasangannya pula tidak menepati kriteria setelah dia menemui yang baru.


Kita tidak mampu menolak takdir jika hubungan tidak mampu diselamatkan. Namun, jika benar hubungan sudah menemui jalan buntu hingga terpaksa memutuskan hubungan, petua berikut mungkin mampu memberi ilham untuk menangani keadaan dengan baik.


# Buat janji temu. Sebelum memulakan proses memutuskan hubungan, elok membuat janji bertemu terlebih dulu sama ada melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau telefon. Minta dia luangkan waktu untuk membicarakan sesuatu yang penting antara anda berdua.


# Temui si dia. Cara terbaik menyampaikan hasrat memutuskan hubungan itu adalah bersemuka kerana ia menampakkan kedewasaan anda dan si dia. Ia juga memudahkan anda berdialog dan merungkaikan permasalahan bersama.


Putus kasih menerusi SMS, telefon, e-mel atau surat hanya akan membuat pasangan keliru malah menganggap anda pengecut dan tidak bertanggung jawab terhadap komitmen.


Secara tidak langsung ia akan meninggalkan kesan negatif.


# Jujur. Sampaikan secara jujur apa yang anda rasakan terhadap hubungan anda saat itu sama ada bosan atau tidak senang dengan perhubungan selama ini.


Apapun, ia haruslah ditutur dengan cara berhemah.


# Sampaikan alasan khusus.


Alasan yang disampaikan harus mengkhusus dan sangat kuat untuk menyokong keputusan anda.


Kalau perasaan sudah jitu untuk memutuskan perhubungan, jangan goyah atau membuka peluang semula. Sampaikan alasan kuat tanpa pengaruh mana-mana pihak.


# Jangan ungkapkan kata yang mengecewakan perasaannya atau berunsur sindiran.


Meskipun anda memiliki orang ketiga, jangan nyatakan ia sebagai alasan sebenar kerana ia memang sangat menyakitkan hatinya.


# Kendalikan emosi.


Emosi harus dikawal pada pertemuan terakhir itu kerana menjerit atau berlawan kata-kata dengan keras tidak akan menyelesaikan keputusan yang bakal diambil itu.


Sebaiknya hiburkan hatinya kerana dia mungkin akan menangis ketika mendengar kata-kata anda.


Sekiranya berbicara dengan lembut dari hati ke hati, tanpa emosi membuak-buak, lambat-laun dia akan memahami.


Berbicara pada alasan yang logik dan gunakan bahasa yang menenangkan seperti, "Saya harap awak mengerti keadaan diri saya saat ini. Saya yakin awak akan bertemu seseorang yang lebih baik daripada saya."


# Ucapkan rasa terima kasih.


Sebaiknya, sampaikan penghargaan dengan ungkapan terima kasih untuk hubungan yang sudah anda jalin bersamanya.


Misalnya, "Terima kasih kerana sepanjang dua tahun kita bersama. Saya minta maaf kalau ada kekurangan diri yang tidak menyenangkan awak" atau "Saya sudah menganggap awak seperti adik sendiri, jadi kalau ada masalah, jangan segan hubungi saya."


sumber-metro