RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang hamba sehingga dia memiliki tiga sifat iaitu menafkahkan harta tanpa kedekut, berlaku adil terhadap diri dan memberi salam kepada orang lain.” (Hadis riwayat Ahmad)
Harta benda atau wang ringgit kurniaan Allah kepada hamba-Nya. Harta benda yang dimiliki adalah suatu himpunan amanah dan tanggungjawab perlu diurus dan dibelanjakan sewajarnya.
Oleh itu, manusia yang suka menyimpan harta kerana takut akan kehabisan dan tidak sanggup mengeluarkan sebahagiannya ke jalan hak seperti berzakat pasti tidak akan mendapat keberkatan dan rahmat Allah walaupun dianugerahi nikmat melimpah ruah.
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Tuhanmu yang meluaskan rezeki terhadap sesiapa juga yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang dan peraturan-Nya) dan Dia juga yang menyempitkan (menurut yang demikian). Sesungguhnya Dia Maha Mendalam Pengetahuan-Nya lagi Maha Melihat akan hamba-Nya.” – (Surah al-Israk, ayat 30)
Adil dengan diri sendiri bermaksud seseorang itu menyeimbangkan antara keperluan spiritual (rohani) dan dan fizikal (material, intelektual) di mana semua komponen ini saling berkait rapat dan sangat penting bagi menjadikan kehidupan seseorang seimbang, tenang dan damai.
Memberi salam pula adalah simbol kekuatan ukhuwah yang dituntut Islam untuk diamalkan selalu oleh setiap Muslim menjalani kehidupan bermasyarakat bagi melahirkan perasaan saling hormat menghormati di samping mewujudkan perpaduan dan kasih sayang.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
sumber-berita harian
0 Ulasan