CAPE CANAVERAL 23 April - Sebuah pesawat tanpa juruterbang menyerupai kapal angkasa kecil milik Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) melakukan penerbangan sulung ke orbit, menggunakan sebuah roket Atlas V, malam tadi.
Roket yang membawa Kenderaan Orbit Ujian X-37B yang boleh digunakan semula itu, berlepas pada pukul 7.52 malam (pukul 7.52 pagi tadi waktu Malaysia) dari Stesen Tentera Udara Cape Canaveral, demikian menurut kenyataan yang mengumumkan kejayaan pelancarannya.
Pesawat angkasa itu dilancarkan sebagai platform ujian untuk eksperimen yang tidak dinyatakan dan mampu berada di orbit selama 270 hari sebelum meluncur turun menggunakan pendaratan automatik ke Pangkalan Udara Vanderberg di kawasan pinggir pantai California di barat laut Los Angeles.
Tempoh misi tidak didedahkan oleh Tentera Udara.
Yang dinyatakan secara umum ialah mengenai matlamatnya seperti ujian panduan, navigasi, kawalan, perlindungan haba dan operasi automatik di orbit, kemasukan semula dan pendaratan.
Bagaimanapun, tujuan utama X-37B dan maklumat lanjut mengenainya kekal menjadi satu misteri, walaupun pakar menyatakan ia dibina untuk mempercepatkan pembangunan sistem sokongan tempur dan persenjataan.
"Pelancaran ini membantu untuk memastikan pejuang kita di dalam perang diberikan kemampuan yang diperlukan pada masa depan," kata Kolonel Andre Lovett, seorang pegawai pelancaran dan juga naib komander Sayap Angkasa ke-45 Tentera Udara.
Pelancaran merupakan penamat kepada projek yang memakan masa dan belanja tinggi oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) dalam bahagian penyelidikan dan pembangunan senjata Pentagon sebelum diserahkan kepada Pejabat Kemampuan Pantas Tentera Udara yang biasanya dirahsiakan.
Beratus-ratus juta dolar dibelanjakan untuk program X-37, namun jumlah sebenar masih belum didedahkan.
Jika kapal angkasa besar disamakan dengan trak besar membawa kargo, X-37B adalah seperti sebuah kereta sport dengan kemampuan besar.
Dibina oleh Phantom Works daripada Boeing Co., pesawat seberat 5,000 kilogram dengan dimensi tiga meter tinggi, sembilan meter panjang dan sayap kurang daripada 4.5 meter lebar dan mempunyai dua sirip belakang bersudut berbanding penggunaan penstabil tegak tunggal.
Berlainan dengan kapal angkasa biasa, ia direka untuk pelancaran seperti sebuah satelit dengan diletakkan di atas roket Atlas V dan mempunyai panel solar untuk membekalkan kuasa elektrik ketika mengorbit. - AP
sumber-utusan
1 Ulasan
kenapa pesawat pi angkasa sume x lawa..... huhuhu.... warna taik cicak plak tuh.... hik3... :)
BalasPadam