BAGI peminat bola sepak dunia terutamanya penyokong kelab Inggeris, Chelsea, nama Nicolas Anelka mungkin sudah tidak asing lagi. Dia dianggap salah seorang penyerang paling berbahaya apabila berada di hadapan pintu gol lawan.
Pada musim lalu, dia menjadi penjaring terbanyak dalam Liga Perdana Inggeris apabila menjaringkan 22 gol. Anelka kini dikenali sebagai seorang pemain yang sentiasa tenang dan tidak emosional di padang.
Keadaan itu berbeza ketika lelaki kelahiran Versailes, Perancis itu mewakili Real Madrid, Liverpool, Manchester City dan Arsenal. Ini kerana ketika itu dia dikenali sebagai pemain yang suka merungut dan emosional.
Perubahan sikap Anelka itu sememangnya menarik perhatian banyak pihak. Dia dilihat semakin bijak dan tenang dalam apa juga situasi. Dalam wawancara dengan sebuah media di Britain baru-baru, Anelka mendedahkan perubahan di dalam dirinya berlaku sejak dia memeluk agama Islam pada tahun 2004 ketika mewakili kelab di Turki.
''Islam banyak membantu saya untuk bersikap tenang, menumpukan perhatian dan mempunyai semangat yang tinggi. Saya gembira menjadi seorang Muslim kerana Islam adalah satu agama yang penuh ketenangan," kata Anelka atau nama Islamnya, Abdul Salam Bilal Anelka.
Sebelum ini, Anelka pernah menyembunyikan identitinya sebagai seorang Islam kepada umum. Keadaan itu berbeza dengan rakan senegaranya Franck Ribery yang bermain dengan kelab Bayern Munich. Ribery sentiasa berdoa setiap kali hendak memulakan sesuatu perlawanan tetapi Anelka tidak berbuat demikian. Bagi Anelka, agama adalah soal peribadi yang tidak perlu dihebahkan kepada orang ramai.
Namun begitu selepas umum mengetahui agamanya, Anelka telah membuat pengakuan secara terbuka bahawa dia kini seorang Islam dan mendapat hidayah pada tahun 2004, ketika bermain dengan kelab Fenerbahce, Turki.
Anelka yang dilahirkan di Versailles, Perancis, pada 14 Mac 1979, menghabiskan masa kecilnya di Trappes - sebuah kota kecil di pinggir barat Paris. Sebelum menjadi seorang Muslim, Anelka adalah seorang yang tiada agama. Pada ketika itu, Anelka banyak bergaul dan menjalin persahabatan dengan keluarga Muslim dan di situlah dia mula tertarik dengan Islam.
Ketika ditanya dalam satu wawancara kenapa dia memilih Islam, Anelka menjelaskan, '' Islam adalah cara hidup yang sesuai dengan dirinya dan saya berasa tenang selepas menganut agama itu."
Anelka mengakui, sejak menjadi seorang Muslim, ia banyak membawa perubahan positif kepada dirinya sama ada sebagai seorang hamba Allah mahupun seorang pemain bola sepak profesional.
''Islam membimbing saya untuk bersikap arif dan ini banyak membantu saya supaya sentiasa bersikap tenang dan bersemangat tinggi ketika turun ke padang. Islam adalah sumber kekuatan saya sama ada ketika di dalam atau luar padang.
Ketenangan
''Saya menempuh pelbagai cabaran dalam kehidupan, oleh itu saya perlu mencari ketenangan dan akhirnya saya menemui Islam," katanya.
Dari sudutu kehidupan peribadinya, Anelka bernikah dengan seorang warga Belgium, Barbara Tausia, pada 9 Jun 2007 di Morocco.
Walaupun berbeza agama, namun ia tidak menggugat pendirian Anelka terhadap Islam, malah untuk perancangan masa depan Anelka bercadang untuk bermastautin di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), apabila bersara kelak.
Apa yang menarik biarpun terpaksa mengharungi perlawanan ketika bulan Ramadan, namun Anelka tetap taat menunaikan ibadah puasa.
''Kami mempunyai ramai pemain beragama Islam dalam liga Inggeris dan kami tetap berpuasa kerana ibadah itu tidak menjejaskan kemampuan kami. Sebagai seorang Islam kami wajib menghormati Ramadan,'' kata Anelka.
Bagaimanapun Anelka mengakui beberapa kali ketika bulan Ramadan, dia mengalami kecederaan sehingga tidak memungkinkan dia berpuasa.
Kini Anelka menjadi salah seorang pemain bola sepak yang dikagumi dan dalam masa yang sama berusaha menjadi Muslim yang baik.
Kehadiran Ramadan kali ini disambut oleh Anelka dengan penuh kesyukuran dan yakin selagi dia berada dalam Islam, selagi itulah kehidupannya akan terus diberkati.
Sesungguhnya, Anelka bersyukur kerana pemindahannya ke Turki telah membolehkan dia menemui agama yang sebenar iaitu Islam. Kehidupannya yang sebelum ini terumbang-ambing tanpa agama, kini dipenuhi dengan seribu ketenangan.
-sumber-utusan
1 Ulasan
Alhamdulillah..
BalasPadamhidayah Allah tidak pernah terbatas..